Selasa, 27 Januari 2009

Dr Khir Toyo Cuba Bermain Api.

Mantan Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terdesak dan cuba alih isu lembu korban bila ugut nak dedah perbelanjaan kerajaan negeri semasa dibawah pentabirannya dulu.

Menurut beliau, Menteri Besar Selangor itu sudah tersepit kerana beberapa kenyataannya yang bercanggah malah Khalid turut sudah mengaku menggunakan wang kerajaan negeri membiayai pemberian lembu korban ke kawasan parlimen Bandar Tun Razak.

“Sebelum inipun beliau sebut perkara sama. Banyak kali Khalid kaitkan dengan Balkis (Badan Amal Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor) tetapi setelah siasatan, pihak berkuasa belum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Isu Balkis panas setelah pertubuhan itu memindahkan dana yang ada kepada tabung BAKTI sebaik sahaja pakatan rakyat menerajui Selangor selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.

Dr Mohamad Khir dihubungi Agendadaily untuk mendapatkan respons terhadap kenyataan Khalid yang akan mendedahkan dokumen membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Khalid dipetik sebagai berkata, tindakan ketua pembangkang dan bekas Menteri Besar Selangor itu yang mendedahkan dokumen mengenai pembiayaan lembu korban baru-baru ini telah mendorong beliau untuk melakukan tindakan yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata dokumen itu akan hanya didedahkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Tindakan Khalid ini dilihat seolah-olah kerajaan Selangor pimpinannya tidak boleh dikritik sedangkan ketika membenmtuk kerajaan dahulu, beliau berjanji melaksanakan pentadbiran yang telus.

Menurut Dr Mohamad Khir, Menteri Besar itu kerap mengalih isu apabila sesuatu pendedahan atau perkara berkaitan pentadbirannya serta kerajaan pakatan rakyat di Selangor didedahkan.

Sebelum ini, beliau turut mendakwa Khalid seorang pembohong apabila menafikan ada menggunakan wang kerajaan negeri dalam isu lembu korban dan pembelian kereta Toyota Camry 2.4 menggantikan Proton Perdana Eksekutif sebagai kenderaan rasmi.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Anti Korupsi Malaysia (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, Khalid harus melepaskan jawatannya sementara waktu kerana sudah mengaku menggunakan wang anak syarikat kerajaan negeri membekalkan lembu ke Bandar Tun Razak.

Katanya, Menteri Besar itu tidak harus berdolak dalih menyalahkan orang lain termasuk menuduh GERAK menyebelahi kerajaan mahupun UMNO apabila membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Menurut Mohd Nazree, beliau juga mendapat tahu Khalid juga mahu pakatan rakyat menubuhkan badan anti rasuah seperti GERAK.

“Selagi badan itu telus, berintegriti serta berjuang menentang rasuah, kita tidak menghalang tetapi jangan kerana sudah terkena batang hidung sendiri, baru hendak berbuat demikian…ini ibarat berdendam,” katanya. – 26/1/2009

petikan daripada : http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id
=com.tms.cms.article.Article_13c00a47-7f000010-65178400-4b7c6957

Tiada ulasan: