Ahad, 8 Februari 2009

Perbicaraan ADUN BEBAS PERAK bakal bermula


" KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dua Ahli Exco Perak, Kapten (B) Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi di Mahkamah Sesyen Ipoh selama dua hari bermula 10 Februari ini akan diteruskan mengikut jadual.
Ketua Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, berkata pihaknya bersedia memulakan perbicaraan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) itu.

“Tugas pihak pendakwaan adalah mengendalikan perbicaraan dan kami seboleh-bolehnya akan mengelak mengemukakan permohonan menangguh perbicaraan. Malah, setakat ini dokumen berkaitan kes sudah diserahkan kepada peguam mereka.

“Setakat ini, tidak ada ura-ura menunda meneruskan perbicaraan itu,” katanya semalam.

Ogos lalu, mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen secara berasingan bersama tiga yang lain, termasuk bekas Adun Bota, Kapten (B) Usaili Alias kerana dituduh terbabit rasuah berhubung projek pembangunan RM180 juta di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Jamaluddin, 53, yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan negeri, dituduh bersama Usaili, 57, menerima rasuah RM5,000 daripada Mohamad Imran Abdullah sebagai dorongan mendapatkan projek di tanah seluas 36 hektar.


Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 11.40 pagi 14 Ogos lalu di Tingkat 1, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Di mahkamah sama, Usaili turut menghadapi empat pertuduhan lain termasuk meminta daripada Mohamad Imran wang tunai RM5,000 untuk Jamaluddin pada jam 5 petang 12 Ogos di Medan Istana 2, Bandar Ipoh Raya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata suruhanjaya akan memulakan siasatan terhadap dua wakil rakyat terbabit jika tindakan mereka menyertai parti lain mempunyai kaitan dengan unsur rasuah.

“Jika ada maklumat atau aduan berhubung tindakan lompat parti, siasatan akan dijalankan. Bagaimanapun, setakat ini SPRM tidak menerima laporan berhubung perkara itu,” katanya.

petikan daripada : http://www.tranungkite.net/v8/
modules.php?name=News&file=article&sid=2314

Tiada ulasan: