Saudara Halim bertanya,
“Anda cuma memperkatakan dari satu sudut sahaja. Adakah anda sudah pasti
semua atau kebanyakan rakyat menentang PPSMI? Fikirkan isu globalisasi. Fikirkan isu kemelesetan ekonomi, isu graduan menganggur tidak berdaya saing. Adakah para akademik, DBP, GAPENA dan pejuang bahasa sanggup menterjemahkan ribuan buku-buku ilmiah terkini ke BM secara sukarela? Pejuang mesti rela berkorban utk memastikan BM layak digelar bahasa ilmu (spt yg dilakukan di Jepun) Sekiranya anda sebagai ketua syarikat antarabangsa adakah anda akan mengambil graduan yg tidak mampu berbahasa inggeris? Sekiranya kementerian pelajaran mewujudkan semula SRK (aliran Inggeris PPSMI) dan SK (aliran Melayu) adakah anda pasti SRK akan mengalami kekurangan murid? Adakah anda pasti para ibu bapa akan menyekolahkan anak-anak mereka di SK? Sudah tentu ibu bapa mahu yg terbaik utk anak-anak mereka. Oleh itu pernyataan anda bahawa PPSMI ditolak oleh ibu bapa tidak boleh diterima.”
Itu luahan saudara Halim dalam posting saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " ". [ klik tajuk tersebut untuk membaca artikel saya ]Sebelum itu, jutaan terima kasih atas kesudian memberi komen ke atas tulisan saya juga kerana sudi mengunjungi blog saya.
Saudara halim,
Saya faham dan sedar hasrat ibu bapa di Malaysia. Ibu bapa di Malaysia banyak yang menginginkan anak- anak mereka mendapat pendapatan dengan gaji lumayan di syarikat- syarikat bertaraf multinasional raksaksa umpama Petronas, Sime Darby, Siemen AG, Intel Corporation, Samsung Corporation, Honda, Seagate dan seumpamanya. Ibu bapa di Malaysia juga menginginkan anak - anak mereka mendapat tempat pengajian di universiti ternama baik di dalam mahupun luar negara. Dan semua ini memerlukan penguasaan yang baik dalam bahasa inggeris.
Pendirian saya secara peribadi, saya menolak dasar PPSMI ( Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ) tetapi dalam masa yang sama saya sokong hasrat kerajaan memantapkan bahasa inggeris pelajar- pelajar. Bahkan saya sendiri secara peribadi menggalakkan agar pelajar - pelajar mempelajari sebanyak mungkin bahasa. Saya sendiri menguasai 3 bahasa iaitu bahasa melayu, inggeris dan arab walaupun mungkin penguasaan saya dalam bahasa tersebut biasa- biasa sahaja.
Apa yang merisaukan saya mengenai perlaksanaan dasar PPSMI ini ialah ia akan mewujudkan 3 penyakit atau 3 kebodohan. Pelajar yang lemah bahasa Inggerisnya akan juga lemah dalam mata pelajaran matematik dan sains. Itu yang saya bimbangkan oleh kerana Sains dan Matematik adalah subjek yang lebih penting berbanding bahasa inggeris itu sendiri. Jika dasar ini diteruskan, yang malangnya pelajar - pelajar melayu kita terutama mereka yang bersekolah biasa di luar bandar. Bagaimana kita mahu perbanyakkan jurutera, juruukur, akitek, doktor, ahli farmasi jika pelajar - pelajar kita lemah sains dan matematik yang puncanya oleh kerana medium bahasa yang salah iaitu bahasa inggeris. Sains dan matematik menurut pakar- pakar sebaiknya diajar dalam bahasa ibunda atau bahasa yang mudah mereka fahami.
Saudara boleh semak dalam artikel saya. Saya tidak menentang bahasa inggeris tetapi yang saya tentang adalah mengginggeriskan sains dan matematik. Hujah - hujah saya anda boleh semak dalam artikel saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " " . [ sila klik tajuk untuk membaca artikel ]
Oleh itu sebagaimana saya terangkan dalam artikel saya tersebut, untuk memperkasakan bahasa inggeris pelajar- pelajar kita, maka cara terbaik atau kaedah terbaik adalah melalui memperkasakan sendiri bahasa inggeris itu. Ia bukan dengan kaedah mengorbankan mata pelajaran sains dan matematik yang pada pendapat saya cara salah untuk memperkasakan penguasaan bahasa inggeris pelajar -pelajar kita. Untuk itu, kerajaan harus mencari kaedah untuk memupuk minat pelajar- pelajar dalam bahasa inggeris. Ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah tanpa mengorbankan subjek lain, saya ulangi tanpa mengorbankan subjek lain.
Kaedah yang boleh dipraktikkan samada dengan memperkenalkan sastera inggeris berkualiti tinggi, memperuntukkan jumlah jam yang lebih banyak bagi mata pelajaran inggeris, mengubahsuai modul bahasa inggeris supaya lebih menarik dan santai, meletakkan guru- guru bahasa inggeris berkuali tinggi di sekolah- sekolah luar bandar, mewujudkan program mewajibkan pelajar membaca bahan bacaan inggeris, mensyaratkan gred minimum bahasa ingeris untuk kemasukan ke IPTA tertentu dan seumpamanya.
Jika kerajaan tetap ingin mengorbankan mana- mana subjek untuk memperkasakan bahasa inggeris pelajar, kenapa ia bukan mata pelajaran pendidikan jasmani atau aktiviti korikulum yang bagi saya jika dikorbankan mata pelajaran ini ia adalah lebih baik. Pertamanya kerana ia sendiri bukanlah satu subjek utama dan keduanya sudah tentu ia tidak sama sekali menjejaskan mata pelajaran tersebut. Bahkan pelajar dan guru lebih selesa berkomunikasi menggunakan medium bahasa inggeris berbanding sains dan matematik yang melibatkan pelabagai istilah pelik bin ajaib. Sasterawan negara, tokoh bahasa, ahli akademik, ahli politik dan ibu bapa saya yakin tidak akan menentang kerajaan.
Saudara Halim mengatakan " Fikirkan isu globalisasi. Fikirkan isu kemelesetan ekonomi "
Apa yang saya faham saudara memberi hujah penguasaan bahasa inggeris yang tidak baik akan meberi kesan kepada ekonomi negara. Jika hujah saudara begitu, bagaimana negara- negara seperti Jepun, China, Korea, Taiwan, Jerman, Perancis, Sepanyol jauh ke hadapan meninggalkan Malaysia. Negara tersebut untuk makluman saudara majoritinya tidak reti berbahasa inggeris. Bahkan Perdana Menteri dan barisan kabinet mereka juga tidak fasih berbahasa inggeris. Tetapi hakikat yang saudara harus percayai negara - negara tersebut adalah kuasa ekonomi masa kini. Bagi saya, tidak perlu 100% rakyat fasih berbahasa inggeris. Cukuplah kelompok2 profesional dan pentadbir kerajaan menguasai bahasa inggeris dengan baik. Walaupun begitu, jika sekalipun mereka kurang fasih berbahsa inggeris, peluang mereka masih terbuka luas asalkan pandai merebut peluang di depan mata.
Seterusnya saudara Halim menyuarakan " isu graduan menganggur tidak berdaya saing ". " Sekiranya anda sebagai ketua syarikat antarabangsa adakah anda akan mengambil graduan yg tidak mampu berbahasa inggeris? "
Untuk itu, saudara halim boleh merujuk sendiri artikel saya bertajuk " Komen Mahasiswa Malaysia Mengenai Dasar PPSMI dan " 3 KEBODOHAN " "[ sila klik tajuk untuk membaca artikel ].
Saya petik beberapa hujah saya dalam artikel tersebut yang mungkin boleh membantu menjawab pertanyaan saudara.
1] " Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyebut pada awal- awal penubuhan asasi UM ( pusat persediaan sebelum ijazah), bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Melayu.
Apa yang menariknya menurut pak Engku Aziz, bekas graduan pada tahun- tahun awal penubuhan asasi UM majoritinya pada hari ini berpendapatan melebihi RM 45, 000. 00 sebulan. Ia adalah satu angka lumayan pendapatan seorang profesional di Malaysia. "
2] " Seterusnya mari kita lihat hasrat dan tujuan penubuhan UKM. UKM diilham dan ditubuhkan atas semangat mendaulatkan bahasa melayu di negara kita. Oleh kerana itu hingga hari ini UKM masih menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar termasuklah bagi kursus- kursus kritikal dalam bidang sains dan teknologi seperti kejuruteraan, perubatan, farmasi, optometris dan seumpamanya. Soalan yang harus kita tanya, adakah graduan UKM dalam bidang sains dan teknologi seperti jurutera, doktor, ahli farmasi tidak laku di pasaran kerja ???? Saya kira dalam bidang perubatan dan sains kesihatan bersekutu, UKM adalah antara 3 IPTA terbaik di Malaysia "
3] " Soalan yang sama kita tanya mengenai pelajar- pelajar UiTM secara jujur yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar. Saya kira berdasarkan maklumat dari banyak sumber - sumber sahih, graduan UiTM adalah graduan yang paling tinggi penganggurannya termasuklah graduan dalam bidang kejuruteraan.."
dan saya tambahkan lagi hujah - hujah saya untuk menyokong hujah saya di atas
1] Universiti Islam Anatarabangsa Malaysia menggunakan bahasa inggeris 100% sebagai medium pengajaran dan pembelajaran bagi kursus- kursusnya termasuklah kursus kejuruteraan.
2] Universiti Teknologi Malaysia tidak mewajibkan bahasa inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran sebaliknya menyerahkan kepada tenaga- tenaga pelajarnya samada untuk memberi kuliah dalam bahasa inggeris mahupun melayu atau dwibahsa.
Sumber - sumber sahih yang anda sendiri boleh rujuk mengesahkan bahawa mahasiswa UTM lebih laku di pasaran kerja berbanding mahasiswa UIAM dan termasuklah juga UiTM. Bahkan kebanyakan sumber mengesahkan mahasiswa UTM adalah mahasiswa yang paling laku di pasaran kerja dibanding IPTA - IPTA lain dalam negara termasuklah dalam kursus kritikal seperti Jurutera dan Juruukur.
Bagi saya, bahasa inggeris bukanlah pra syarat utama untuk seseorang graduan layak diberi pekerjaan. Apa yang lebih penting, gaduan tersebut perlulah mahir dalam bidangnya, boleh bekerja secara berkumpulan, mempunyai pengetahuan am yang baik, mempunyai ciri- ciri kempimpinan, aktif dalam kerja sosial, khidmat masyarakat dan kebajikan, aktif berpersatuan, berani memberi kritikan dan pandangan, sedia dikritik dan ditegur dan sedia belajar benda baru. Sebagai ketua eksekutif dan sememangnya itu matlamat saya jika diizinkan Allah, ciri- ciri begitulah yang saya perlukan bagi pekerja saya. Bahasa Inggeris hanyalah bonus. Cukuplah pekerja saya boleh berkomunikasi sedikit - sedikit dalam bahasa inggeris. Saya penuh yakin itulah ciri- ciri pekerja yang dicari oraganisasi antarabangsa, multinasional ataupun perkhidmatan kerajaan.
Saudara Halim juga menambah hujah berikut bagi menyokong dasar Tun Mahathir iaitu " Adakah para akademik, DBP, GAPENA dan pejuang bahasa sanggup menterjemahkan ribuan buku-buku ilmiah terkini ke BM secara sukarela? Pejuang mesti rela berkorban utk memastikan BM layak digelar bahasa ilmu (spt yg dilakukan di Jepun) ".
Mudah saja untuk saya menjawab soalan anda. Apakah yang anda lihat pada perhimpunan 100000 rakyat menentang dasar PPSMI. Jelas sekali barisan hadapan perhimpunan ini ialah ahli akademik, bekas ketua pengarah DBP, sasterawan negara dan pejuang bahasa. Jadi sudah tentu mereka sedia membantu dan berkorban untuk bahasa tercinta. Tetapi secara sukarela, mungkin tidak banyak yang sudi tetapi saya yakin masih ada yang rela melakukan kerja memartabatkan bahasa secara sukarela.
Walaupun begitu, matlamat kita adalah untuk menyuburkan ilmu dalam negara tetapi dengan cara tidak meminggirkan kedudukan bahasa melayu. Bahasa melayu pada masa sama harus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu. Untuk itu, kerajaan harus mengambil langkah drastik menubuhkan pusat terjemahan terulung yang aktif. Konsep rumah penterjemah di zaman ketamadunan Islam di Baghdad dan Cordova boleh dijadikan contoh. Rumah penterjemah tersebut telah berjaya menterjemah buku- buku pelbagai genre dari segala pelusuk dunia hingga Baghdad dan Cardova di bawah pemerintahan Islam muncul sebagai pusat keilmuan terulung di dunia ketika itu. Tokoh - tokoh hebat keilmuan Islam dalam lapangan sains dan matematik hidup pada ketika itu. Justeru sekali lagi ia membuktikan bahasa bukan satu halangan untuk kita menguasai sesuatu ilmu. Samalah dengan al quran, adakah kita perlu mahir dalam bahasa arab untuk mengetahui isi kandungan al quran.
Cukuplah kita mengkaji terjemahan dalam bahasa kita.
Seterusnya saudara Halim mengatakan
"Sekiranya kementerian pelajaran mewujudkan semula SRK (aliran Inggeris PPSMI) dan SK (aliran Melayu) adakah anda pasti SRK akan mengalami kekurangan murid? Adakah anda pasti para ibu bapa akan menyekolahkan anak-anak mereka di SK? Sudah tentu ibu bapa mahu yg terbaik utk anak-anak mereka. "
saya akan menjawab dengan menanyakan soalan ini.
Apakah pelajar cina dan india minat memasuki sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar?
Sudah tentu tidak oleh kerana meraka mahu anak - anak mereka menguasai bahasa ibunda mereka dengan baik. Saya berpendapat begitu jugalah kehendak ibu bapa melayu di Malaysia. Sudah tentulah mereka mahu anak - anak mereka baik pertuturan melayunya. Oleh itu saya yakin majoriti ibu bapa di Malaysia akan menghantar anak - anak mereka ke sekolah kebangsaan atau sekolah agama.
Majoriti ibu bapa pelajar melayu menetap di luar- luar bandar, semestinya dengan keadaan persekitaran luar bandar, seolah kebangsaan akan tetap kekal sebagai sekolah pilihan ibu bapa - ibu bapa ini.
Sejarah juga telah membuktikan sebelum sekolah kebangsaan diwujudkan, majoriti ibu bapa melayu memilih sekolah agama yang menggunakan medium bahasa melayu sebagai bahasa pengantar berbanding sekolah aliran inggeris. Bahkan sebaik sekolah kebangsaan diwujudkan, bahasa melayu dituntut oleh rakyat untuk dijadikan medium pengantar di sekolah kebangsaan. Bahkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar dipersetujui dalam laporan - laporan pendidikan termasuklah laporan Barnes, Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.
Saudara Halim juga berhujah " Oleh itu pernyataan anda bahawa PPSMI ditolak oleh ibu bapa tidak boleh diterima. "
Jika ibu bapa berkeinginan PPSMI dikekalkan, sudah tentu perhimpunan PPSMI gagal mendapat sokongan ibu bapa. Sebaliknya Gabungan Persatuan Ibu bapa dan Guru Semenanjung yang mewakili semua PIBG - PIBG seluruh negara menyokong penuh perhimpunan anti PPSMI ini. Kehadiran lebih 100 000 rakyat sudah tentu cukup menyokong hujah- hujah saya bahawa majoriti ibu bapa menolak dasar Tun Mahathir ini iaitu PPSMI.
petikan daripada :
http://www.mahasiswamalaysia.blogspot.com/
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan