Selasa, 27 Januari 2009

Buang Budaya Sombong Dan Rasuah UMNO

Buang budaya rasuah UMNO
Oleh NORAINI ABD. RAZAK

TEMPOH berkabung kekalahan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Terengganu belum berakhir. Bedah siasat tersungkurnya pengaruh BN yang meletakkan calon UMNO di kawasan tersebut juga belum selesai.
Punca serta penawar penolakan UMNO oleh majoriti penduduk Kuala Terengganu sehingga sekarang masih belum diumumkan.

Hanya cakap-cakap mengenai apa punca tragedi kehilangan satu lagi kawasan Parlimen BN selepas Permatang Pauh berkumandang di sana sini.

Namun lakaran peristiwa pahit 17 Januari 2009 seolah-olah tidak lekat di fikiran ahli-ahli UMNO - tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu menjadi platform untuk mencanai undi bagi pemilihan UMNO.

Kegilaan berkempen termasuk menggunakan wang secara berleluasa bukan lagi cakap-cakap. Jawatankuasa Disiplin UMNO sendiri mendedahkan menerima aduan kira-kira 900 kes berkaitan salah laku itu - biar pun belum dapat dibuktikan.

Itulah keghairahan di kalangan ahli UMNO, bukan segelintir tetapi tidak mustahil lebih separuh daripada mereka mempunyai keinginan untuk berbuat demikian. Ramai juga yang telah pun melibatkan diri dalam gejala yang boleh memusnahkan parti itu.

Perkembangan terbaru menjadi petunjuknya. Di peringkat awal dua pemimpin UMNO dan seorang ahli berjawatan guru didakwa di mahkamah atas tuduhan memberi suapan berupa wang tunai bagi meraih undi.

Dan semestinya senarai panjang menunggu untuk diheret ke mahkamah sehingga memberi gambaran yang amat gelap kepada sebuah parti yang diberi mandat untuk memperjuangkan nasib serta masa depan bangsa Melayu.

Tidak usah ditanya apa akar kepada gejala yang satu ketika dulu diharamkan oleh UMNO tetapi sekarang telah menjadi budaya - sehingga ada pihak yang tidak segan-segan menyebut: ''Kalau nak kaya masuk UMNO''.

Sedangkan pejuang-pejuang UMNO terdahulu mewujudkan parti itu untuk memakmurkan Melayu dan menjaga segala hak Melayu supaya tidak tergadai di tangan bangsa lain.

Perjuangan murni kini dinodai oleh bangsa Melayu sendiri yang melihat di sebalik lambang keris dan bendera UMNO tersembunyi timbunan projek yang untungnya akan masuk ke poket sendiri.

Sebab itu persaingan sengit untuk memenangi hati pengundi berlangsung sedemikian rupa dan untuk memastikan undi memihak kepada mereka, wang ringgit ditabur sehingga mengaburi perjuangan asal UMNO itu sendiri.

Siapa yang tidak mahu menjadi kaya tanpa perlu bersusah payah melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi atau bertungkus lumus membanting tulang empat kerat.

Cukup dengan terpilih menjadi ketua bahagian atau jawatan-jawatan lain yang lebih tinggi, kehidupan mewah terbentang di hadapan mata dan tanpa rasa segan mereka mengaku menjadi ahli UMNO sambil menunjukkan kemewahan di sana-sini.

Ada pihak mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpukan siasatan kepada ahli-ahli UMNO sedangkan parti-parti lain juga tidak boleh 'berpisah' daripada budaya rasuah.

Soalnya mengapa diungkit tindakan SPRM sedangkan ahli-ahli UMNO sendiri digerakkan untuk berbuat demikian dan mengapa perlu dipersoalkan parti-parti lain.

Adakah kerana parti lain terutama yang tidak bercakap mengenai agama sebagai asas perjuangan mengamalkan politik wang maka UMNO juga selayaknya dianugerahkan 'logo halal' untuk terlibat dalam gejala seperti itu?

Hakikatnya UMNO tidak lagi boleh dicemari oleh gejala serta budaya yang entah dikutip dari mana dan kini amat sinonim dengan parti itu. UMNO mesti sedar bahawa turun naik prestasinya dalam setiap pilihan raya juga didorong oleh faktor politik wang yang kini menjadi amalan terbuka sehingga menimbulkan rasa sakit hati dan tidak puas hati di kalangan rakyat.

Semestinya rakyat terutama yang masih 'kais pagi makan pagi' tidak mahu bertuankan pemimpin seperti itu jauh sekali mahu dinaungi oleh sebuah parti yang kecenderungannya untuk mengamalkan politik wang amat terbuka luas.

Lantas pemimpin yang dilihat bersih biar pun mewakili parti yang belum tentu arah perjuangannya menjadi pilihan menyebabkan parti yang wadahnya Melayu dan Islam ditolak.

Sebab itu perkembangan terbaru yang dilihat memalukan serta menjatuhkan imej UMNO ini mesti diberi perhatian biar pun ramai bertanggapan mengapa UMNO mesti membuka pekung di dada.

Mengapa tidak menjadi seperti parti-parti komponen lain dan parti pembangkang yang juga dipercayai sarat dengan unsur rasuah tetapi menyimpannya di dalam lipatan sehingga tertutup dari pandangan umum?

Dan bolehkah UMNO dibiar begitu seperti mana yang terjadi puluhan tahun lalu sehingga membentuk rasuah itu sebagai budaya dan untuk melakukan pemulihan bukan lagi kerja yang mudah.

Dan percayakah kita suapan yang diberi hanya melibatkan ratusan ringgit dan anak-anak ikan, manakala jerung yang tidak mustahil menyuap kertas-kertas lebih berwarna-warni terlepas begitu sahaja.

Persoalan yang mesti dijawab oleh ahli-ahli UMNO baik di peringkat bawahan mahupun barisan kepimpinan ialah adakah rasa sayang dan cinta kepada parti didorong oleh wang ringgit? Adakah jika mereka tidak lagi diumpan dengan projek, maka UMNO tidak lagi mempunyai daya tarikan?

Adakah UMNO akan menjadi tidak relevan jika duit dan projek tidak menjadi keutamaan?

Persoalan yang berkait rapat dengan budaya rasuah dalam UMNO dan masa depan parti yang menjunjung agama serta bangsa itu mesti segera dijawab oleh ahli-ahli UMNO.

Jika mereka memilih wang ringgit dan projek maka masa depan UMNO sememangnya gelap kerana ahli-ahlinya tidak sayangkan parti sebaliknya sokongan mereka amat bergantung kepada paras penuhnya poket masing-masing.

Kesilapan ini mesti segera diperbetulkan dan ditangani oleh pucuk pimpinan parti yang serius mahu melihat UMNO kembali ke pangkal jalan dan masa yang diperlukan untuk merawat UMNO sudah tidak lagi panjang.

Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah petunjuk jelas mengapa UMNO semakin ditolak oleh rakyat.

Mereka memilih pakatan pembangkang bukan kerana parti itu cekap, telus dan menyakinkan tetapi kerana hanya itu saja pilihan yang ada.

UMNO mesti ingat, rakyat pelbagai peringkat semakin bijak membuat penilaian. Mereka bukannya bodoh atau buta untuk membezakan antara kekayaan hasil keringat dan 'bergoyang kaki' mengatur agenda menambah kekayaan.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

petikan daripada :
(wonderful world comment :)
http://www.drkhir.com/2009/01/
selamat-tahun-baru-cina-tahun-lembu-isu.html#comment-form

Tiada ulasan: