Selasa, 27 Januari 2009

Tiada Tolak Ansur Kepada Semua Pemimpin UMNO

Mana-mana ahli UMNO yang terlibat dalam politik wang kini tahu risiko yang bakal dihadapi.Mesej dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu cukup jelas bahawa tiada jalan keluar lagi bagi mereka yang kena cekup dan didapati bersalah.

Malah Presiden UMNO dan timbalannya itu memberi backing penuh kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyaksikan 3 orang didakwa di mahkamah Khamis dan 12 lagi diserbu di sebuah rumah Temerloh Rabu.

Ekoran tindakan SPRM itu timbul polimek dikalangan sesetengah ahli UMNO itu yang bimbang tindakan berterusan seumpama itu akan menjejaskan nama baik parti.Ada juga yang berpandangan agensi penguatkuasa kerajaan seperti SPRM tidak wajar dilibatkan dalam soal dalaman parti.

Perdana Menteri yang diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru itu semasa di Dubai Jumaat malam menegaskan UMNO tidak akan bertolak ansur lagi dengan amalan politik wang.

Abdullah berkata SPRM telah menjalankan peranan dan tugasnya dengan baik seperti yang diharapkan kerajaan.

''Tindakan yang mereka ambil baru-baru ini ke atas beberapa ahli UMNO, jelas membuktikan ia sebuah suruhanjaya yang bebas dan bertindak secara telus," ujar beliau.

Timbalan Perdana Menteri yang ditemui para wartawan di Pekan menegaskan tindakan SPRM itu perlu dalam usaha untuk membersihkan parti dari politik wang.

Beliau meminta semua pihak menerima hakikat ini.

Najib bertanya ,'adakah kita mahu melakukan pembaharuan kepada UMNO atau merosakkan parti dengan politik wang."

''Jika kita mahu membersihkan parti, ini adalah akibatnya. Kita kena buat keputusan dan menanggung akibatnya. Semua ahli perlu menerima hakikat ini," katanya.- 24/1/2009

petikan daripada : http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_
f1fcf5a0-7f000010-65178400-4e0bce78

Tiada ulasan: