Khamis, 19 Februari 2009

PPSMI hangat di parlimen.

Malaysiakini : Soal untuk meneruskan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat hari ini apabila beberapa wakil rakyat mengemukakan pandangan berbeza berhubung pelaksanaannya.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyokong supaya PPSMI diteruskan berkata ia mampu meningkatkan kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di kawasannya.
Katanya PPSMI juga disokong oleh penduduk di kawasannya, lapor Bernama.

“Kelmarin, saya sedih dan kecewa serta merasakan wakil rakyat sudah tidak selamat dalam Dewan ini. Saya dikepung, disergah dan dikatakan kurang ajar oleh seorang yang bertaraf ustaz yang meminta saya menarik balik kata-kata saya mengenai PPSMI.

“Saya cuma cakap apa orang-orang di kawasan saya beritahu. Di Kinabatangan, tidak ada pusat tuisyen bahasa Inggeris dan PPSMI perlu dikekalkan kerana ia menjadi satu cara anak-anak di tempat saya mahir dalam bahasa Inggeris,” katanya apabila membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah membantah pelaksanaan PPSMI kerana ia tidak mencapai matlamat membantu pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

“Sains dan Matematik adalah dua subjek yang terikat dengan istilah-istilah sendiri. Dulu kita belajar bahasa Inggeris dalam bahasa tersebut dan menjadi hujah kita ialah PPSMI tidak mencapai matlamat,” katanya.

Menyokong pandangan Bung Moktar, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata penentangan terhadap dasar itu adalah satu sindrom penafian yang tidak melihat matlamat di sebaliknya.

Katanya pelaksanaan PPSMI boleh membantu meluaskan ilmu pengetahuan memandangkan kebanyakan bahan rujukan kedua-dua subjek dan istilah yang digunakan oleh subjek tersebut ialah dalam Bahasa Inggeris.

“Dengan sebab itu pentingnya PPSMI bukan kerana bahasa Inggeris tetapi untuk menuntut ilmu,” katanya.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI dan berpendapat ia (pembelajaran dan pengajaran subjek berkenaan) perlu dikembalikan ke dalam bahasa Melayu.

Datuk Seri Hadi Awang (PAS-Marang) pula berkata beberapa kajian oleh institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menunjukkan pelaksanaan PPSMI untuk mengilmukan rakyat adalah tidak berjaya dan tidak mendatangkan manfaat khasnya kepada pelajar di luar bandar.

petikan daripada : http://dppwp.wordpress.com/2009/02/19/
ppsmi-cetus-perbahasan-hangat-di-parlimen/

1 ulasan:

awang kata berkata...

Sedih kerana orang Melayu masih tidak ada hala tuju dan kemas kini akan perihal bahasa bangsanya sendiri. Lalu dengan senang dan ambil mudah, untuk menguasai bahasa asing sains dan matematik dijadikan mangsa. Masih juga tidak apa. Di mana semangat Malaysia Boleh untuk kuasai bahasa Inggeris dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.