Isnin, 9 Mac 2009

Baru tahu peritnya hidup rakyat.

Semalam, Menteri Kerja Raya mengumumkan kadar tol di lima lebuh raya akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuatkuasa Ahad ini sebagai mematuhi terma perjanjian di antara kerajaan dengan pemegang konsesi lebuh raya.

Selepas pengumuman itu dibuat, Pak Lah yang kini berada di Thailand terus mengarahkan kabinet mengkaji semula kenaikan itu. Kata Pak Lah, kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.

Kegusaran dan kemarahan rakyat lega seketika bila mendengar Pak Lah berkata begitu.

Menurut beberapa laporan media, keputusan untuk menaikkan kadar tol sudahpun dipersetujui oleh kabinet sejak 2 minggu lalu. Baru semalam ianya diumumkan oleh Menteri Kerja Raya.

Lalu persoalan yang bermain sekarang, adakah Pak Lah memang tahu atau memang tidak tahu langsung dengan keputusan kabinet yang sudah dibuat 2 minggu sudah?

Jawapannya, tentulah Pak Lah sudah tahu. Takkanlah seorang Perdana Menteri tidak tahu langsung dengan keputusan yang dibuat oleh kabinetnya walaupun beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat kabinetnya. Tentu ada minit mesyuarat atau laporan yang boleh dibacanya.

Yang peliknya, jika Pak Lah sudah tahu, kenapa tiba-tiba pula Pak Lah tidak bersetuju?

Adakah kerana Pak Lah bakal tidak berjawatan tidak lama lagi mula memikirkan beban yang terpaksa ditanggungnya seperti kata Dato Seri Azmi Khalid pada Kosmo Online, dulu masa saya jadi menteri tak pernah bayar tol. Tapi sekarang, saya sering ke Kuala Lumpur dan memang terasa bebannya.

Kalau nak dengar ulasan Menteri Kerja Raya memang menyakitkan hati. Katanya, kenaikan terbaru itu terlalu kecil jumlahnya.

Pada seorang Menteri yang tidak perlu membayar tol, memanglah tidak terasa apa-apa. Tapi bagi seorang rakyat biasa, ianya terlalu besar dan akan membebankan. Lagipun, sudah menjadi kebiasaan, bila tol naik, harga barang lain pun akan naik.

Sejak perjanjian konsesi lebuhraya didedahkan kepada umum, rakyat sudah mengetahui betapa untungnya menjadi usahawan tol. Di Malaysia, ada satu perniagaan yang boleh menjamin anda mencapai keuntungan setiap tahun iaitu dengan menjadi peniaga tol.

petikan daripada : http://nuraflah.blogspot.com/
2009/02/sekarang-baru-dia-tahu.html

Tiada ulasan: