Isnin, 9 Mac 2009

Kebangkitan Nasionalisme baru.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan tsunami politik yang melanda negara setahun lalu sebagai “kelahiran baru nasionalime”.

Dalam ucapannya sempena ulangtahun setahun pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Anwar menggesa pakatan pembangkang supaya mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan pergerakan tersebut.

Beliau mahu mereka mengajak rakyat supaya bersama-sama dengan ‘kelahiran baru nasionalisme’ itu bagi membina negara atas prinsip keadilan, kesaksamaan dan peluang untuk semua.

Anwar adalah orang yang bertanggungjawab mencetuskan gerakan reformasi pada 1998 dan 10 tahun kemudiannya - dalam pilihanraya umum 2008 - pembangkang berjaya menafikan Barisan Nasional (BN) penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Malah, Pakatan Rakyat menumbangkan kerajaan BN di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dalam pilihanraya umum tersebut.

“Jika anda mengundi kami pada 2008, maka anda adalah sebahagian daripada sejarah. Ketahuilah, undi anda dalam pilihanraya akan datang, akan menentukan halatuju masa depan negara.

“Jangan lepaskan peluang ini. Saya minta semua rakyat Malaysia yang berkongsi impian ini, supaya bersama-sama dengan gerakan untuk perubahan ini,” katanya.

Anwar turut membidas kerajaan BN yang menurutnya, walaupun lebih setengah abad berkuasa dan bercakap tetapi pembaharuan, tetapi semuanya berupa “cakap tak serupa bikin”.


petikan daripada : http://anwaribrahimblog.com/
2009/03/09/kelahiran-baru-nasionalisme/

Tiada ulasan: